Bunga Rampai Aceh

Selamat Datang Di "Bunga Rampai Aceh" Http://ChaerolRiezal.Blogspot.Com

18 April 2013

Kisah Nabi Zulkifi .a.s


Zulkifli A.S. adalah salah seorang nabi Allah. Di dalam al-Quran ada disebutkan tentang baginda dalam dua petikan ayat yang bermaksud:

“Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Zulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh” (Al-Anbiyaa’, 21: 85-86)

“Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa' dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik” (Shaad, 38: 48)

Baginda yang dikenali sebagai Ezekiel dalam Injil ini telah dibawa ke Babylon selepas kemusnahan Jerusalem. Baginda dirantai dan dipenjarakan. Baginda menghadapi segala kepayahan dengan sabar dan mencela perbuatan mungkar Bani Israel.

Ibn Jarir telah meriwayatkan satu peristiwa yang memberi cahaya kepada hidup baginda. Apabila Al-Yasa A.S. meningkat tua, dan ingin memberikan tugas untuk memimpin bangsa Israel kepada yang sesuai. Baginda mengumumkan: Hanya orang tersebut akan dipertimbangkan untuk menggantikan baginda dan yang berpuasa pada siang hari, mengingati Allah pada malam hari dan menahan diri daripada sifat marah. Salah seorang daripada mereka berdiri dan berkata: Aku akan patuh kepada syarat-syarat tersebut. Baginda mengulangi syarat-syarat itu semula sebanyak tiga kali dan lelaki yang sama berjanji dengan bersungguh-sungguh akan memenuhi syarat-syarat tersebut. Maka dia dilantik untuk membawa tugas tersebut.

Selepas beberapa lama, dia telah diberi ujian. Suatu hari, syaitan dalam jelmaan lelaki tua mengetuk pintu rumahnya. Lelaki tua itu dibenarkan masuk dan membuat aduan tentang kekejaman orang ramai terhadap dirinya. Dia menyuruh lelaki tersebut datang semula pada waktu petang dan berjanji akan membetulkan kesilapan tersebut. Lelaki tua itu berjanji tetapi tidak kembali semula pada waktu yang ditetapkan.

Keesokan harinya lelaki tua itu datang semula dan mengadu seperti hari sebelumnya. Maka disuruhnya lelaki tersebut datang pada sebelah petang. Lelaki itu berjanji dengan bersungguh-sungguh untuk datang semula tetapi tetap memungkirinya. Pada hari yang ketiga, lelaki tua itu datang semula mengetuk pintu rumahnya sekali lagi. Pada kali ini, pintu tidak lagi dibuka. Maka syaitan tersebut menyelinap ke dalam bilik dan menunjukkan dirinya kepada lelaki itu. Dia sangat terkejut melihat jelmaan syaitan tersebut lalu menyoalnya. Lalu dia mendapati lelaki tua itu adalah syaitan yang cuba membuatnya marah namun syaitan itu gagal. Akhirnya lelaki tersebut dikenali sebagai Zulkifli kerana berjaya menunaikan janjinya dengan Nabi Al-Yasa’ A.S. Dia berjaya menahan marahnya walaupun dikacau oleh syaitan tadi. Tidak lama selepas itu, dia angkat sebagai nabi.

Baginda memerintahkan kaum Israel untuk berperang dengan sesiapa yang melakukan kerosakan di bumi dan menentang agama Allah. Para pengikutnya enggan menurut perintah kerana mereka takut mati. Sebagai balasan, kebanyakan mereka akhirnya ditimpa dengan malapetaka. Sejenis wabak telah menular dan menyebabkan kematian yang menyedihkan. Mereka lantas lari meninggalkan tempat tersebut untuk menyelamatkan diri. Tiada siapa yang tinggal untuk mengebumikan mayat penduduk yang mati. Mayat-mayat membusuk di bawah sinaran cahaya matahari. Nabi Zulkifli A.S. keluar dari tempat persembunyian selepas tujuh hari. Baginda diselubungi kesedihan melihat keadaan yang dasyat yang dialami pengikutnya dan merayu: “Ya Allah! Engkau telah membinasakan pengikutku. Kasihanilah mereka dan kurniakanlah kehidupan baru kepada mereka”. Allah telah memakbulkan doa nabi, maka diberikan kembali kehidupan kepada mereka.

“Setelah itu Kami bangkitkan kamu sesudah mati, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah, 2: 56)
Selepas itu, Nabi Zulkifli A.S. meninggalkan pengikutnya dan berhijrah ke Babylon dan wafat di sana. 

1 komentar: