Kisah Nabi Dawud A.S
Nabi Dawud a.s. berasal dari
Bani Israil, keturunan Yahudza bin Nabi Yaakub a.s. Nama baginda telah disebut
sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Baginda adalah nabi dan raja yang mempunyai
kerajaan yang diperturunkan kepada puteranya Sulaiman a.s. Mereka dikurniakan
kenabian dan kurniaan kebaikan dunia dan akhirat.
“Dan Allah telah memberikan
kerajaan dan hikmah kepada Dawud serta mengajarkan apa-apa yang
dikehendaki-Nya” (Al-Baqarah, 2: 251)
Nama sebenarnya baginda ialah
Dawud bin Isya bin ‘Uwaid. Baginda juga adalah seorang rasul yang dikurniakan
dengan kitab samawi yaitu Zabur. Allah telah berfirman yang bermaksud: “Dan
Kami berikan Zabur kepada Dawud” (An-nisa, 4: 163)
Nabi Dawud Bersama-Sama
Thalut
Thalut dilantik menjadi raja
kepada Bani Israel karena mempunyai tubuh yang perkasa dan ilmu yang luas.
Namun begitu, penduduk Bani Israel merasakan bahawa beliau tidak layak untuk
memegang kuasa tersebut.
Nabi Dawud telah diundang ke
istana dan tinggal bersama Thalut kerana raja tersebut begitu tertarik dengan
bakat seni yang ada pada baginda. Baginda akan selalu bersama Thalut di istana
dan berulang balik menemui bapak baginda untuk menolongnya mengembala kambing.
Nabi Dawud a.s. Menentang
Jalut
Pada suatu ketika, terjadi satu
peperangan antara rakyat Israel dan Palestina. Tentera Palestina telah dipimpin
oleh Jalut, pahlawan yang gagah perkasa tetapi sangat kejam. Maka Thalut pun
memilih pasukan yang kuat di kalangan tenteranya untuk menentang Jalut. Nabi
Dawud a.s. telah turut serta dalam peperangan tersebut.
Semasa perang berlaku, Jalut
telah meminta untuk diadakan pertarungan satu lawan satu. Dia dengan angkuhnya
marah ke hadapan dan mencabar musuhnya di pihak Nabi Dawud. Lalu Nabi Dawud
a.s. menyambut cabaran tersebut namun diejek kembali oleh Jalut yang merasakan
Nabi Dawud a.s. tidak setanding dengannya. Baginda juga dinasihati oleh Thalut
supaya tidak bertarung dengan pahlawan yang berpengalaman tersebut. Namun Nabi
Dawud a.s. tetap dengan keputusan baginda maka bertarunglah keduanya. Baginda
berdoa sebelum bertarung yang bermaksud:
“Ya Tuhan kami, tuangkanlah
kesabaran ke atas diri kami, dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami
terhadap orang-orang kafir.” (Al-Baqarah, 2: 250)
Dengan izin Allah Nabi Dawud
a.s. telah berjaya mengalahkan Jalut walaupun bertubuh kecil berbanding Jalut.
Tentera Palestina akhirnya kalah dalam pertempuran dan lari bertempiaran.
Nabi Dawud a.s. Menjadi Raja
Nabi Dawud a.s. menjadi terkenal
di kalangan Bani Israel selepas kejadian tersebut. Baginda telah mendapat anugerah
daripada Thalut dan dikawinkan dengan puteri baginda dan dilantik sebagai ketua
Komander angkatan tentera. Namun tidak lama selepas itu, Thalut berasa iri hati
dengan pengaruh Nabi Dawud a.s. Salah seorang anak lelaki Thalut mempunyai
pekerti yang baik telah memaklumkan baginda tentang perkara tersebut.
Selepas kematian Thalut, urusan
pemerintahan dikuasai oleh Nabi Dawud a.s. dan seterusnya menjadi raja kepada
Bani Israel. Baginda telah mentadbir negara dengan berkesan dan menakluki
banyak kawasan. Para penduduk mendapat kemakmuran semasa pemerintahan baginda
yang berhati mulia, adil dan bertakwa. Rakyatnya juga menyembah Tuhan yang satu
yang mengikut pimpinan yang sebenar.
Penurunan Kitab Zabur
Allah telah menurunkan kitab
Zabur kepada Nabi Dawud a.s. Kitab ini mengandungi ajaran untuk memimpin kaum
Bani Israel. Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Dan kami berikan Zabur kepada
Dawud” (An-Nisaa”, 4: 163)
Rakyat akan terpegun apabila
mendengar Nabi Dawud a.s. membaca ayat-ayat daripada Zabur dengan suara yang
amat merdu. Semua akan mengelilinginya termasuk binatang-bintang di muka bumi
ini.
Selain itu, Allah juga telah
mengurniakan keistimewaan untuk menundukkan gunung ganang supaya bertasbih
bersama-samanya dengan bahasa yang tidak difahami oleh manusia biasa.
Pengetahuan dan kelebihan itu juga dapat dipraktikkan terhadap burung-burung
untuk turut serta bersamanya.
“Dan sesungguhnya telah Kami
berikan kepada Dawud kurnia dari Kami. (Kami berfirman): “Hai gunung-gunung dan
burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Dawud”, ” (Saba”, 34: 10)
“Sesungguhnya Kami tundukkan
gunung-gunung kepadanya, semuanya tasbih pada petang-petang dan pagi-pagi, dan
(Kami tundukkan pula) burung-burung yang dikumpulkan, masing-masing banyak
kembali kepada Allah.” (Shaad, 38: 18-19)
Nabi Dawud a.s. Sebagai
Tukang Besi
Nabi Dawud a.s. adalah seorang
tukang besi yang mahir. Baginda berupaya melembutkan besi yang keras dan menghasilkan
berbagai bentuk barangan daripadanya. Baginda melakukannya tanpa memakai api
atau sebarang alat. Besi yang dilembutkan ada yang dijadikan baju besi yang
sangat elok buatannya. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan telah Kami ajarkan kepada
Dawud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu;
Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah).” (Al-Anbiya, 21: 80)
“Dan Kami telah melunakkan besi
untuknya.” (Saba’, 34: 10)
Nabi Dawud a.s. adalah seorang
pemimpin yang begitu adil dan menggunakan masa sehariannya dengan sempurna.
Baginda memperuntukkan hari-hari khusus untuk beribadat, bertugas sebagai
hakim, memberi pengajaran kepada kaumnya dan untuk kepentingan peribadi.
Kematian Nabi Dawud a.s.
Nabi Dawud a.s. meninggal dunia
pada usia 70 tahun dan dikebumikan di Jurusalem.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar